السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, July 9, 2009

Kaedah pengiraan dalam pembahagian harta pusaka

Apakah susunan yang mesti dipatuhi dalam pengagihan harta pusaka kepada ahli-ahli waris menurut Syari’at Islam?

Harta peninggalan si mati hendaklah diagihkan kepada ahli-ahli waris yang berhak mengikut susunan di bawah;

1.Dimulakan dengan ashabil-furudh.
2.Kemudian ‘ashabah.
3.Jika terdapat baki/lebihan –dan tiada ‘ashabah untuk mengambilnya- maka baki/lebihan itu dikembalikan/ dipulangkan kepada ashabil-furudh nasabiyah mengikut kadar saham mereka.
4.Jika tiada ashabil-furudh dan tiada ‘ashabah, harta akan diberikan kepada zawil-arham. Begitu juga, jika ada baki/lebihan dan tiada ‘ashabah untuk mengambilnya serta tiada ashabil-furudh nasabiyah untuk dikembalikan kepada mereka, maka lebihan itu diberikan kepada zawil-arham.
5.Jika semua kelompok waris di atas tiada (termasuk zawil-arham), maka harta akan diserahkan kepada Baitul-Mal.

Apakah langkah-langkah pengiraan yang perlu dilalui dalam pembahagian harta pusaka?

Setelah harta ditolak hutang-hutang dan wasiat yang berkait dengannya, langkah pertama (dalam proses pembahagian harta pusaka) ialah menyemak ahli-ahli waris yang berhak mewarisi harta tersebut iaitu dengan menyingkirkan orang-orang yang ditegah dan yang terhadang (mahjub). Jika ahli waris yang berhak mewarisi hanya seorang sahaja, maka diberikan kepadanya keseluruhan harta pusaka itu. Namun jika ahli-ahli waris adalah ramai, maka hendaklah diikuti langkah-langkah berikut;

Pertama: Tetapkan terlebih dahulu bahagian-bahagian untuk ashabil-furudh jika terdapat ashabil-furudh dalam masalah/kes.

Kedua: Pastikan angka asas pengiraaan (mengikut kaedah-kaedah yang akan kita jelaskan nanti)

Ketiga: Tentukan saham bagi setiap ahli waris. Cara penentuan saham adalah seperti berikut:

a)Bagi ahli waris dari ashabil-furudh, sahamnya ditentukan dengan cara membahagikan angka asas pengiraan dengan angka pembawah bagi pecahan fardhnya (yakni bahagiannya) dan hasilnya didarabkan dengan nombor pengatas bagi pecahan tersebut.

b)Bagi ahli waris dari kalangan ‘ashabah pula, sahamnya ialah baki setelah ditolak saham-saham ashabil-furudh di atas. Jika bilangan ‘ashabah ramai, baki tersebut dibahagikan mengikut bilangan mereka dan hasilnya adalah saham bagi setiap mereka.

Keempat: Bahagikan harta peninggalan dengan angka asas pengiraan, maka hasilnya merupakan nilai satu saham dari harta peninggalan atau harta pusaka.

Kelima: Darabkan jumlah saham setiap ahli waris dengan nilai satu saham tersebut, maka hasilnya merupakan habuan setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati.

Keenam: Langkah di atas jika ahli-ahli waris semuanya ashabil-furudh atau sebahagian ashabil-furudh dan sebahagian lagi ‘ashabah. Adapun jika semua ahli waris adalah ‘ashabah belaka, maka asas pengiraan ialah jumlah keseluruhan ahli-ahli waris jika mereka lelaki sahaja atau perempuan sahaja. Namun jika bercampur lelaki dan perempuan, maka asas pengiraan ialah bilangan ahli waris perempuan di campur dengan gandaan bilangan ahli waris lelaki. Kemudian, untuk mengetahui habuan setiap ahli waris dari harta peninggalan, bahagikan harta peninggalan dengan nombor asas pengiraan. Hasilnya merupakan habuan bagi setiap ahli waris perempuan. Untuk mendapat habuan bagi lelaki pula, darabkan hasil itu dengan dua.

Apakah yang dimaksudkan dengan angka asas pengiraan (أصل المسألة)?

Angka asas pengiraan atau usul masalah ialah nombor gandaan sepunya terkecil yang dapat dikeluarkan darinya saham-saham ahli waris dengan hasilbulat tanpa pecahan.

Bagaimana caranya menentukan angka asas pengiraan (أصل المسألة)?

a) Jika sekiranya waris seorang sahaja, tidak perlu dicari asas pengiraan kerana tidak ada pembahagian yang perlu dilakukan.

b) Jika ahli waris adalah ramai dan semuanya ‘ashabah, maka jika lelaki kesemuanya, asas pengiraan ialah jumlah bilangan ahli waris yang ada. Jika bercampur lelaki dan perempuan, asas pengiraan ialah bilangan perempuan dicampur dengan dua kali bilangan lelaki.

c) Jika sekiranya di kalangan ahli waris yang ramai itu terdapat ashabul-furudh (yakni orang-orang yang memperolehi bahagian tetap) atau kesemuanya ashabul-furudh, maka asas pengiraan ialah nombor gandaan sepunya terkecil yang dapat dibahagikan dengan setiap pembawah bagi pecahan-pecahan yang ada. Contohnya; jika pecahan-pecahan yang ada ialah ½, 1/3 dan 1/6, maka asas pengiraannya ialah 6, kerana angka 6 adalah nombor gandaan sepunya terkecil yang dapat dibahagikan dengan semua pembawah/penyebut pada pecahan-pecahan tersebut iaitu; 2, 3 dan 6.

Untuk memastikan nombor gandaan terkecil tersebut, perlu diperhatikan nisbah (kaitan) antara angka-angka pembawah pada pecahan-pecahan yang ada sama ada ianya tamathul (yakni saling menyamai) atau tadakhul (saling memasuki) atau tawafuq atau tabayun.

Senaraikan angka-angka asas pengiraan dalam ilmu Faraid hasil penelitian ulamak?

Angka-angka asas pengiraan dalam ilmu Faraid tidak lari dari tujuh angka berikut;
a)Dua (2)
b)Tiga (3)
c)Empat (4)
d)Enam (6)
e)Lapan (8)
f)Dua belas (12)
g)Dua puluh empat (24)

7 comments:

diyana said...

salam..boleh kah ustaz berikan contoh perkiraan faraid bersama nilai harta pusaka dan kadar yang diperolehi oleh ahli waris yang layak..

Anadiana said...

salam ustaz, saya dah baca cara pengiraan tu tapi x faham2. Boleh x ustaz tolong kirakan? Camni citer nyer....
Simati seorang lelaki bujang, mak ayah pun dah x de. Yang tinggal cuma 1 adik lelaki dan 5 perempuan. Sekarang ni duit simati di tabung haji ada RM8000. Boleh ustaz tolong kirakan terus pembahagian nyer? Tolong ustaz, sebabkan RM8k ni, mcm2 boleh jadi.
Sekian, shukran.

RUHAIMI said...

Salam. Ustaz mohon jelaskan pembahagian harta pusaka bagi simati yang tidak mempunyai anak, tiada isteri dan hanya mempunyai 2 adik perempuan sebapa sahaja.

Ali Baba said...

Salam Ustaz, Masaalah saya begini Ustaz:-
1. Isteri saya meninggal dan saya tiada anak lelaki, saya hanya ada 2 anak perempuan. Arwah Isteri ada 6 adik beradik.
Soalanya:
Arwah ada meninggalkan aset rumah berharga RM 300k dan simpanan duit sebanyak RM 100K, Rumah itu disewakan sebanyah RM1000 sebulan selama 5 tahun. Bolih tolong Ustaz cara kadar pembahagian peratus untuk suami, anak anak dan pewaris seramai 6 orang. Sekian terima kasih.

azli said...

assalam ustaz..sy mempunyai 4 beradik...3 lelaki dan seorang perempuan...blhkah ustaz berikan contoh pengiraan faraid untuk adik beradik sy ustaz...

nazeem kifli said...

as salam...saya nak tanya macam mana nak tau pembahagian wang hasil dari penjualan tanah pusaka.saya mempunyai 7 adik beradik...3 lelaki dan 4 perempuan.ibu saya masih ada.setelah dijual tanah itu nilai nya ialah RM1.050 juta.
boleh tolong saya macam mana perkiraan tersebut.
wasalam.

muhammad fadzreen said...

Assalamualaikum...ibu saya telah meninggal dunia minggu lepas...ibu meninggalkan ayah serta 4 orang anak lelaki...bagaimanakah cara pngagihan harta mengikut hukum faraid?