السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, July 7, 2008

PUASA (PERSOALAN-4)

Apa hukum mengunyah-ngunyah sesuatu ketika sedang berpuasa tanpa menelannya?

Hukumnya makruh. Namun jika benda yang dikunyahnya itu mencair atau tertanggal bahannya ke dalam air liur, lalu ditelan bersama air liur atau tertelan, batallah puasa.

Begitu juga, makruh mengunyah-ngunyah makanan kecuali jika tidak dapat dielakkan seperti untuk memberi makan anak yang masih bayi atau sebagainya, maka tidaklah makruh hukumnya. Tetapi hendaklah dipastikan makanan yang dikunyah itu tidak masuk bersama air liur ke dalam kerongkong kerana jika berlaku maka batallah puasa.

Apa hukum merasa makanan ketika sedang berpuasa?

Merasa makanan tidaklah membatalkan puasa tetapi hukumnya makruh kecuali jika ada keperluan seperti tukang masak, membeli makanan untuk berbuka atau sebagainya. Namun setelah dirasa hendaklah diluahkan kerana jika tertelan masuk ke dalam kerongkong bersama air liur atau sebagainya akan batallah puasa.

Apa hukum membuang darah dari badan ketika sedang berpuasa seperti berbekam dan sebagainya?

Tidak membatalkan puasa. Ibnu Abbas r.a. ada menceritakan bahawa; “Nabi s.a.w. pernah berbekam ketika beliau dalam keadaan ihram haji dan pernah berbekam semasa beliau berpuasa” (HR Imam Bukhari).

Namun hukumnya makruh jika dibimbangi akan melemahkan badan. Tsabit al-Bannani menceritakan; Anas bin Malik r.a. pernah ditanya; “Adakah kamu sekelian (yakni para sahabat Nabi s.a.w.) memakruhkan bekam ke atas orang berpuasa?”. Jawab beliau; “Tidak, kecuali jika boleh melemahkannya”.

Apa hukum menelan air liur?

Menelan air liur sendiri yang masih di dalam mulut sekalipun banyak tidaklah membatalkan puasa. Adapun menelan air liur orang lain maka batallah puasa.

Namun jika air liur itu bercampur dengan benda yang lain, maka jika ditelah akan batallah puasa. Ini seperti seorang memilin benang yang berwarna dengan mulutnya, lalu bercampur air liurnya dengan pewarna benang itu kemudian ditelannya, maka batallah puasanya. Begitu juga batal puasa menelan air liur yang terkena najis -sebelum membasuhnya- seperti air liur yang bercampur dengan darah dari gusi. Namun kalau gusi selalu berdarah atau kebiasaannya mengeluarkan darah dan sukar memelihara darahnya maka darah yang seperti itu dimaafkan dan memadai dengan meludahnya sebagai ganti membasuhnya dan tidak diberatkan membasuhnya pada setiap waktu dan dimaafkan juga darah yang bercampur dengan air liur.

Begitu juga, batal puasa jika menelan air liur yang telahpun dikeluarkan dari mulut sekalipun masih melekat pada bibir.

Adakah menelan gelema atau dahak membatalkan puasa?

Bagi masalah ini ulamak-ulamak berbeza pandangan; ada yang berkata ia membatalkan puasa dan ada yang berkata ia tidak membatalkan puasa.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; gelema/dahak yang dikeluarkan dari dalam tekak, jika diludahkan keluar tidaklah membatalkan puasa. Namun jika gelema/dahak itu ditelan kembali selepas berada dalam mulutnya, maka batallah puasa. Adapun menyedut gelema dari kepala, jika terus masuk ke dalam kerongkong tanpa melalui perantaraan mulut, tidaklah membatalkan puasa. Namun jika disedut masuk ke mulut, kemudian ditelan maka batallah puasa. Jika diluahkan, maka tidak batallah puasa.

1 comment:

mushroom mascotte said...

askm Ustaz, apakah hukum menggosok lidah semasa berpuasa menggunakan kayu sugi ataupun berus gigi dengan ubat gigi? Adakah ia tidak membatalkan puasa seperti menggosok gigi juga?