السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Wednesday, June 18, 2008

SOLAT (TAKBIRATUL-IHRAM DAN MENGANGKAT TANGAN)

Apa hukum memulakan solat dengan bertakbir? Kenapakah takbir di awal solat dinamakan Takbiratul-Ihram?

Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian mengadaplah ke arah qiblat. Setelah itu, ucapkanlah takbir…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Ia dinamakan Takbiratul-Ihram kerana (takbir yang mengharamkan) kerana ia mengharamkan semua perbuatan yang lain daripada perbuatan-perbuatan yang mesti dilakukan didalam solat, iaitu; apabila mula melafazkan ucapan takbir ini, tidak harus bagi kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan diluar solat seperti makan, minum dan sebagainya. Sabda Nabi; “Pembuka solat ialah bersuci, yang mengharamkan segala perbuatan yang lain (selain perbuatan solat) ialah takbir dan yang menghalalkannya semula ialah memberi salam”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah dari ‘Ali bin Abi Thalib r.a.).

Apa hukum mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram? Bagaimana caranya yang sempurna yang dilakukan oleh Nabi?

Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram adalah sunat. Caranya ialah; kedua-dua tangan diangkat hingga setentang dengan dua telinga atau setentang dengan dua bahu, yakni boleh memilih mana satu dari dua cara ini kerana kedua-duanya ada dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Cara pertama; hadis dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama tadi”. (Riwayat Imam Muslim)

Cara kedua; berdasarkan hadis Abdullah bin ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya, begitu juga sebelum baginda ruku’ dan apabila baginda bangkit dari Ruku’. Namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya antara dua sujud”. (Riwayat Imam Muslim)

Semasa mengangkat tangan itu, tapak tangan hendak di buka atau didedahkan dan dihalakan ke arah kiblat. Jari-jari tangan pula, menurut Imam Syafi’ie hendaklah diluruskan dengan direnggangkan secara sederhana antara satu sama lain (yakni tidak dirapatkan). Menurut ulamak-ulamak yang lain (antaranya Imam Ahmad), jari-jari tangan hendaklah dirapatkan (yakni tidak direnggangkan).[1] Imam Syafi’ie berdalilkan hadis dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- membuka jari-jarinya semasa takbir”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Hurairah)

Imam Ahmad pula berdalilkan hadis dari Abu Hurairah juga yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- semasa memasuki solat (yakni memulakan solat) baginda mengangkat dua tangannya dengan meluruskannya (tanpa merenggangkannya)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi). Menurut Imam at-Tirmizi; riwayat yang kedua ini lah yang soheh. Adapun riwayat pertama di atas berlaku kesalahan dalam riwayat (oleh seorang perawi bernama Yahya bin al-Yaman). Kerana itu, menurut Imam Ibnu Qudamah; pandangan yang tepat dalam masalah ini ialah pandangan kedua (iaitu pandangan Imam Ahmad).[2]

Selain dari ketika Takbiratul-Ihram, bilakah lagi kita disunatkan mengangkat tangan?

Ada tiga tempat lagi iaitu;
1. Ketika hendak ruku’
2. Ketika bangun dari ruku’
3. Ketika bangun dari Tahiyat Awal ke rakaat ke tiga.

Malik bin al-Huwairith r.a. menceritakan; “Bahawa Rasulullah s.a.w. apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama itu” (Riwayat Imam Muslim).

Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Adalah Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila beliau bangun selepas (selesai) dua rakaat, beliau akan bertakbir dan mengangkat dua tangannya” (Riwayat Imam Abu Daud).

Bila masanya tangan hendak diangkat; sebelum takbir atau selepas takbir atau serentak dengan takbir?

Ada tiga cara yang ketiga-tiganya disebut oleh hadis;

Pertama; mengangkat tangan serentak dengan takbir. Ini berdasarkan hadis dari Nafi’ (seorang Tabi’in) yang menceritakan; Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- (seorang sahabat Nabi) apabila memasuki solat (yakni memulakannya), beliau bertakbir sambil mengangkat dua tangannya…Beliau (yakni Ibnu ‘Umar) merujuk hal tersebut kepada Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kedua; mengangkat tangan terlebih dahulu, kemudian bertakbir. Ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila telah berdiri untuk solat, beliau mengangkat dua tangannya setentang dua bahunya, kemudian beliau bertakbir…”. (Riwayat Imam Muslim)

Ketiga; bertakbir terlebih dahulu, kemudian mengangkat tangan. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qilabah yang menceritakan bahawa ia telah melihat Malik bin al-Huwairith (seorang sahabat Nabi) –radhiyallahu ‘anhu- tatkala beliau mengerjakan solat, ia mengucapkan takbir, kemudian baru mengangkat kedua tangannya. Malik memberitahu bahawa Rasulullah melakukan sedemikian”. (Riwayat Imam Muslim)

Jika kita mengerjakan solat berjamaah, bila masanya kita perlu bertakbir; selepas imam atau bersama-sama dengan imam?

Makmum hendaklah bertakbir selepas imamnya selesai bertakbir. Tidak harus ia bertakbir mendahului imamnya atau bertakbir serentak dengan imamnya. Ini kerana Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Sesungguhnya imam itu adalah untuk diikuti. Apabila ia bertakbir, barulah kamu turut bertakbir. Apabila ia sujud, barulah kamu turut sujud…”. (Riwayat Imam Muslim dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu-)

Apa kelebihan Takbir Pertama (at-Takbiratul-Ula)? Apa maksudnya?

Kelebihan Takbir Pertama disebut oleh Rasulullah - sallallahu ‘alahi wasallam- dalam sabdanya; “Sesiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari berjamaah dengan memperolehi takbir pertama, akan ditulis untuknya dua pembebasan; pembebasan dari neraka dan pembebasan dari nifaq”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas –radhiyallahu ‘anhu-)

Menurut Imam Nawawi; maksud takbir pertama ialah seseorang itu bertakbir sebaik sahaja imamnya selesai bertakbir, yakni ia mengikut imam bermula dari takbiratul-ihram lagi. Ada pandangan berkata; fadhilat takbir pertama itu diperolehi selagi seseorang itu sempat berdiri bersama imam (sebelum imam rukuk). Pandangan lain lagi menyebutkan; kelebihan takbir pertama itu masih dapat diperolehi oleh makmum jika ia mendapat awal ruku’ bersama imam (pada rakaat pertama).[3]

Di mana tangan hendak diletakkan selepas takbiratul-ihram? Bagaimana caranya?

Tangan hendaklah di letakkan di bahagian atas dari pusat iaitu di atas dada atau di bawah sedikit dari dada (menurut Imam Syafi’ie) dengan kedudukan tangan kanan di atas tangan kiri. Ini berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Saya menunaikan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di mana baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah).

Jari-jari tangan kanan hendaklah memegang belakang tangan kiri. Ini berdasarkan dari Qubaishah bin Hulb dari bapanya –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah mengimami kami di mana baginda memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan).

Ada juga ulamak yang berpandangan; tangan hendaklah diletakkan di bawah pusat. Antara mereka ialah Imam an-Nakha’ie, as-Sauri dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya). Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali yang berkata; “Di antara sunnah di dalam solat ialah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah pusat”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Namun menurut ulamak hadis; hadis ini adalah dhaif, tidak harus dijadikan hujjah.

Ke mana kita perlu letakkan pandangan mata kita ketika solat?

Mata hendaklah melihat ke tempat sujud.

[1] Al-Mughni, 1/333.
[2] Al-Mughni, 1/333.
[3] Mugni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 317-318.

3 comments:

zaty hanyut said...

alhamdulillah, terima kasih menghasilkan artikel ini :)

Faiz Semsettin said...

ustaz . saye ade dgr perlu ad muqaranah dlm takbir itu . iaitu qasad ta3rud ta3yin .
adkh ijma' ulama' mewajibkn semua itu ???

saya mahu belajar said...

Ustaz,semasa kita brtakbir..kita wajib niat solat di dalam hati ke?lafaz niat di mulut.tapi niat di dalam hati semasa takbiratulihram. Benarkah?